Thursday 8 December 2011

PERBANDINGAN KEBOLEHAN MENYELESAIKAN MASALAH MATEMATIK ANTARA MURID YANG BELAJAR ABAKUS ARITMETIK MENTAL DENGAN MURID YANG TIDAK BELAJAR ABAKUS-ARITMETIK MENTAL


Kebolehan  menyelesaikan masalah matematik merujuk  kepada  kemampuan murid menyelesaikan masalah matematik  yang  merangkumi masalah  rutin  dan masalah bukan rutin. Menurut Aziz (2002), sekiranya penyelesaian  masalah hanya mengaplikasikan algoritma yang telah dipelajari, maka ia disebut sebagai masalah rutin. Manakala sekiranya seseorang  murid perlu  berfikir secara mendalam untuk mengaplikasikan konsep asas  matematik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan, ia dinamakan  masalah  bukan rutin. Masalah yang berkait dengan kurikulum sekolah rendah lazimnya merupakan masalah rutin yang berbentuk masalah bersimbol dan masalah berayat (Ong & Yoong, 2003). Menurut Noor Azlan (1995), dalam sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kurikulum mata pelajaran itu telah  mengalami banyak  perubahan sejak merdeka hingga sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia peka terhadap kualiti pengajaran dan  pembelajaran di bilik darjah. Banyak usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu  pengajaran dan pembelajaran  matematik. Justeru, pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah   matematik. Bagi merealisasikan hasrat ini, penggunaan abakus telah diperkenalkan sebagai satu strategi untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah rendah. Penggunaan  abakus-aritmetik mental  dipercayai akan  meningkatkan kemahiran mengira  dan kebolehan menyelesaikan  masalah
matematik dalam kalangan murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000). Dalam kaedah abakus-aritmetik  mental, pembelajaran matematik  menggunakan visual melalui manik-manik abakus, bunyi dan kemahiran psikomotor dengan gerakan jari pada abakus. Murid menjalankan pengiraan mental dengan wujudnya gambaran visual abakus di kepala  terlebih dahulu, kemudian  menggerakkan manik-manik abakus dalam mental seakan-akan menggerakkan manik abakus yang sebenar dengan jari. Kaedah mental ini telah menunjukkan murid tersebut berkebolehan mengira dengan sangat  pantas  dan tepat. Kajian  ini juga selaras
dengan kajian oleh Hayashi (2000) dan Kawano (2000) di negara Jepun. Kaedah ini melibatkan murid secara aktif dan stimulasi otak dengan menjana kecerdasan minda untuk meningkatkan prestasi dan kebolehan menyelesaikan masalah matematik. Keberkesanan pelaksanaan  abakus-aritmetik mental ini akan  menjadi isu baru  yang akan menarik perhatian  masyarakat. Walau bagaimanapun, kajian keberkesanan abakus-aritmetik mental untuk meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah matematik di Malaysia masih kurang dan amat perlu dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment